Sahabat-sahabat ana...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته بسم الله الرحمن الرحيم..الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين
Memaparkan catatan dengan label IBADAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IBADAH. Papar semua catatan

11/05/2011

Bulan Haji... Telah Tiba Lagi...

Assalamua'laikum... pejam celik, pejam celik, dan pejam tak celik-celik, insyaallah kita bakal bertemu dengan Aidiladha pada esok hari. Dan semalam diberitakan bahawa seramai 28,000 jemaah haji Malaysia yang merupakan antara kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia yang mula bergerak menuju ke Arafah kira-kira 20 km dari dari Mekah bagi melaksanakan ibadah wukuf.Tahniah kepada mereka yang telah terpilih menjadi tetamu Allah pada musim haji pada kali ni, semoga mendapat haji mabrur...




Dan hari esok juga bakal menyaksikan haiwan-haiwan qurban ditumbangkan dalam melaksanakan ibadah Qurban. Time ni la waktu gumbira bagi golongan penerima daging qurban termasuklah golongan fakir miskin. Mungkin ada diantara orang-orang miskin yang hanya dapat merasa makan daging setahun sekali iaitu time raya qurban ni je. So, lakukanlah ibadah qurban ni dengan seikhlas hati ye. Jaga rukun serta adab-adab dalam ibadah qurban ni supaya qurban kita tak sia-sia.
Kat bawah ni ada la sedikit maklumat tentang ibadah Qurban ni. Hah, sila la baca...

  • Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.
  • Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

  • Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

  • Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.

  • Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.
NIAT IBADAH QURBAN

  • Tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu.
  • Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.
  • Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
  • Tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar.

HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN

  1. Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya.
  2. Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.
  3. Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.

PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

  • Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban.
  • Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :
      1. Membaca Bismillahirrohmanirrahim
      2. Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
      3. Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
      4. Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
      5. Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."
  • Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.

 Wallahu'allam...







8/01/2011

Ramadhan datang lagi!!!






Jika semua harta adalah racun, maka ZAKATlah penawarnya.
Jika seluruh hidup adalah dosa, maka TAUBATlah ubatnya.
Jika seluruh hari adalah nista, JUMAATlah penyuciannya.
Jika seluruh bulan adalah noda, maka RAMADHANlah pemutihnya.

Ahlan wa sahlan ya RAMADHAN,
Ahlan bik ya RAMADHAN,
Marhaban ya RAMADHAN,
Alhamdulillah….. tahniah kepada anda semua kerana sekali lagi anda terpilih untuk berada di bulan yang penuh baraqah ini. Diharapkan kita dapat mengutip sebanyak mungkin pahala pada bulan ini. Ramadhan dijanjikan oleh ALLAH dengan bermacam –macam kelebihan serta fadhilat yang tidak terdapat dalam bulan lain, yang pastinya akan menjadikan pahala amalan kita berlipat kali ganda. Nah! Apa yang ditunggu lagi? Gandakan amalan anda kerana ini mungkin RAMADHAN terakhir anda!
Oleh itu, jadikan RAMADHAN sebagai UNIVERSITI yang mengajar kuliah-kuliah IBADAH, tutorial-tutorial IMAN, assaignment-assignment TAQWA dan amali-amali AGAMA…semoga kita bakal memperolehi ijazah KEREDHAANNYA…
ALLAHU MA’AK…


 selamat beribadah dan...

selamat berbuka...








2/23/2011

Sedekah...







Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Sesiapa bersedekah seberat biji kurma dari usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung.” (al-Bukhari dan Muslim)









7/11/2010

PUASA DI BULAN SYA'BAN

Alhamdulillah.... Bulan Sya'ban(bulan Rasulullah) bakal menjelma lagi. Syukur,akhirnya ana berjaya mendapatkan satu artikel yang ana rasa paling baik mengenai ibadah puasa di bulan Sya'ban. Sebelum ini, ana masih kurang arif tentang ibadah tersebut. Namun artikel ini telah memberikan banyak info dan ilmu berguna kepada Ana. Semoga saudara saudari sekalian mendapat manfaat....Insyaallah..



MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN SYA’BAN
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Apabila menjelmanya bulan Sya’ban maka ia memberi petanda bahawa kita semakin hampir untuk bertemu dengan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA.

Oleh itu sebagai persiapan untuk kita menghadapi bulan Ramadan ini ada antara kita tertanya-tanya tentang apakah amalan-amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w pada bulan Sya’ban ini. Sebenarnya, pada bulan Sya’ban Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan puasa hingga diriwayatkan bahawa Baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut. Aishah r.r. berkata:


"Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1969.


Justeru, hanya amalan puasa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w khusus untuk bulan Sya’ban. Selain dari amalan ini, tiada hadis sahih menunjukkan baginda mengkhususkan amalan-amalan tertentu sempena bulan Sya’ban. Malah, tidak wujud riwayat-riwayat daripada para sahabat menunjukkan mereka menyambut kedatangan Sya’ban dengan amalan-amalan tertentu. Namun, amalan-amalan sunnah yang lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat-solat sunat, membaca zikir-zikir dan doa-doa ma’thur boleh diteruskan sepanjang bulan Sya’ban sebagaimana bulan-bulan yang lain.


Tentang hikmah Rasulullah s.a.w meningkatkan amalan puasa pada bulan Sya’ban ini, al-Hafiz Ibn Hajar telah memberi komentar di dalam Fath al-Bari Penjelasan Sahih al-Bukhari, edisi terjemahan oleh Amiruddin, terbitan Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jilid 11, muka surat 369: "Hikmah yang lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada bulan Sya’ban adalah seperti yang disebutkan oleh hadis dengan darjat yang lebih sahih daripada hadis-hadis terdahulu. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid r.a katanya:

"Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa dari sebahagian bulan Sya’ban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada ALLAH, TUHAN semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , hadis no: 2317.


Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Sya’ban ini dengan menggandakan ibadah puasa. Namun, terdapat beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang puasa pada bulan Sya’ban ini. Antara perkara-perkara tersebut adalah:

1) Bolehkah Kita Berpuasa Keseluruhan Bulan Sya'ban?

2) Apakah dilarang berpuasa melepasi pertengahan bulan Sya'ban?


Insya-ALLAH penulis akan membahaskan kedua-dua topik tersebut di dalam bab berikutnya.



Bolehkah Kita Berpuasa Keseluruhan Bulan Sya'ban?

Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan kita berpuasa sepanjang bulan Sya’ban atau tidak. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa kadangkala Nabi s.a.w berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban dan adakalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar bulan Sya’ban sahaja. Antara ulama yang berpegang kepada pendapat ini adalah Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h.

Sebahagian yang lain berpendapat baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada mana-mana bu

lan menurut kalendar hijriyyah kecuali bulan Ramadan al-Mubarak. Manakala pada bulan Sya’ban pula baginda hanya berpuasa pada sebahagian besar sahaja. Pendapat kedua ini disokong oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h seorang tokoh hadis bermazhab Syafie.


Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis-hadis Nabi s.a.w yang yang menunjukkan baginda pernah berpuasa sepanjang bulan Sya’ban dan ada pula yang menidakkannya. Mari kita perhatikan beberapa hadis yang dijadikan dalil bahawa baginda s.a.w pernah berpuasa sepanjang bulan Sya’ban. Ummu Salamah r.a berkata:


"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak berpuasa sebulan penuh dalam setahun melainkan bulan Sya’ban dan baginda sambungkan Sya’ban dengan Ramadan." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai, hadis no: 2313.


Menurut Abu Salamah r.a, Aisyah r.a berkata:


"Nabi s.a.w tidaklah berpuasa pada satu bulan ya

ng lebih banyak berbanding bulan Sya’ban. Sesungguhnya baginda berpuasa sebulan penuh." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1970.


Abdullah bin Abi Qais r.a mendengar Aisyah r.a berkata:


"Bulan yang paling disenangi Rasulullah s.a.w untuk berpuasa adalah bulan Sya’ban kemudian disambungnya dengan puasa Ramadan." – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , hadis no: 2310.


Tetapi, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. Sedangkan, beliau me

nceritakan bahawa Nabi s.a.w hanya berpuasa sepanjang bulan pada bulan Ramadan sahaja. Aisyah berkata:


"Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1969.


Untuk menghilangkan percanggahan yang timbul ini, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh bulan Sya’ban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut.


Tambahnya lagi: "Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan u

rusan lain." – Rujuk Fath al-Bari karya Ibn Hajar ‘Asqalani, jil. 11, ms. 366. Setelah didatangkan beberapa pendapat ulama yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w kadangkala hanya berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban dan kadangkala hanya berpuasa sebahagian besar pada bulan itu, al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan di dalam Fath al-Bari, jilid 11, muka surat 367: "Tetapi, jelas sekali pendapat ini seakan-akan terpaksa.


Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada bulan Sya’ban. Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi:

"Baginda s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain bulan Ramadan."


Manakala hadis yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar melalui Ibn Abbas r.a pula berbunyi:


"Nabi s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan penuh selain puasa Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1971.


Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang kita berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula. Menurut Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:


"Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuas

a pada hari itu." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1914.



Apakah Dilarang Berpuasa Setelah Melepasi Pertengahan Bulan Sya’ban?


Tanggapan bahawa dilarang berpuasa pada bulan Sya’ban setelah memasuki hari ke 15 adalah bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah r.a. Sabda Rasulullah s.a.w:


“Jika memasuki pertengahan Sya’ban, janganlah kamu semua berpuasa." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, hadis no: 1990.


Ulama berbeza pendapat tentang status hadis ini. Sebahagian ulama menganggapnya daif (lemah). Al-Hafiz Ibn Hajar r.h berkata: "Al-Rauyyani berkata: Haram mengerjakan puasa sehari atau dua hari sebelum Ramadan dan dimakruhkan mengerjakan puasa sejak pertengahan Sya’ban berdasarkan hadis lain.


Sementara jumhur ulama berpendapat harus mengerjakan puasa sunat setelah pertengahan bulan Sya’ban. Mereka menganggap hadis yang melarang puasa pada waktu itu bermartabat daif (lemah). Sementara Imam Ahmad dan Ibn Ma’in mengklasifikasikan sebagai hadis mungkar (diriwayatkan oleh perawi daif serta menyalahi riwayat perawi tsiqah).


Imam al-Baihaqi menjadikan hadis di bab ini, iaitu hadis di dalam Sahih Bukhari, hadis no: 1914, bab: Tidak boleh mendahului Ramadan dengan berpuasa satu atau dua hari sebagai dalil untuk melemahkan hadis tersebut.


Imam al-Baihaqi r.h berkata: “Riwayat yang memberi keringanan (rukshah) untuk tetap berpuasa sehingga sehari atau dua hari menjelang Ramadan lebih sahih berbanding hadis al-Alla’, iaitu hadis riwayat Abu Daud. Hal yang sama, iaitu mendaifkan hadis tersebut telah dilakukan oleh al-Tohawi." – Rujuk Kitab Fath al-Bari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 11, ms. 86-87.


Namun begitu, Ibn al-Qayyim r.h di dalam Tahdib al-Sunan melihat bahawa hadis Abu Daud ini sahih. Bagi Ibn al-Qayyim, sebenarnya tidak wujud percangahan antara hadis yang melarang berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’ban dan hadis yang membenarkannya. Bagi beliau, hadis al-Alla’ tersebut hanya melarang mereka yang ingin memulakan puasa bulan Sya’ban di pertengahan bulan tersebut secara sengaja dan ia bukan larangan bagi mereka yang telah memulakan puasa pada awal bulan Sya’ban.


Hadis Abu Daud ini juga telah disahihkan oleh Syeikh al-Albani dan Syeikh Ibn Bazz r.h. Oleh itu, penulis terbuka kepada kedua-dua pendapat yang melemahkan serta menguatkan hadis tersebut. Namun, jumhur ulama membolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban diteruskan walaupun setelah pertengahan bulan tersebut.


KESIMPULAN


Jelas di sini bahawa Nabi s.a.w berpuasa pada sebahagian besar bulan Sya’ban. Firman ALLAH S.W.T:


"Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.


Justeru, marilah kita hidupkan bulan Sya’ban ini dengan memperbanyakkan ibadah puasa. Semoga kita semua sentiasa berada di dalam keredhaan ALLAH serta mendapat balasan yang baik di hari akhirat kelak.






Sumber: http://akob73.blogspot.com/2008/07/menyambut-kedatangan-syaban.html


3/01/2010

Qada Solat


1. Adakah kita boleh mengqada solat zohor pada waktu asar dan solat isyak pada waktu subuh di sebabkan kelalaian atau tertidur?
2. Pada pukul 10 pagi adakah kita boleh lagi solat subuh? atau kena niat qada solat subuh pada pukul 10 pagi itu?


Jawapan:

Pertama, ALLAH telah menetapkan waktu-waktu solat bagi umat Islam seperti yang tercatat dalam surah al-Nisak, ayat 103. Oleh itu, berdosa seseorang yang suka melewatkan solat. Lebih-lebih lagi melakukan solat di luar waktunya (qada) kecuali ada sebab tertentu yang dibenarkan oleh syarak seperti tertidur, pengsan dan sebagainya.

Jika ada sebab tertentu yang dibenarkan oleh syarak, kamu boleh mengqada solat bila-bila masa sahaja segera yang mungkin dan tidak boleh menangguhkannya. Umpamanya, kamu terbangun tidur pada pukul 10 pagi. Kamu hendaklah mendirikan solat ketika itu juga tanpa melengahkannya dengan niat solat Subuh seperti biasa kerana ada sebab yang dibenarkan oleh syarak. Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w sendiri pernah terjaga ketika matahari telah naik. Baginda dan para sahabat terus mendirikan solat ketika itu.

Jika kamu melewatkannya seperti mengqada selepas solat Asar, solat kamu tetap sah tetapi perbuatan itu berdosa kerana sengaja melewatkannya. Jika tanpa sengaja, ALLAH lebih mengetahui segala kesulitan yang dihadapi oleh hamba-hamba-NYA. Bahkan, ALLAH tidak menghitung dosa yang dilakukan tanpa sengaja.


sumber

1/23/2010

Solat Qasar dan Jamak

Maksud solat qasar bagi orang yang musafir ialah memendekkan atau meringkaskan solat fardhu yang empat rakaat ( Zohor, Asar dan Isya’ ) menjadi dua rakaat sahaja, dengan syarat ia masih lagi dalam musafir dan musafir itu bukan kerana maksiat (sesuatu yang dilarang oleh syarak) kerana solat qasar itu merupakan satu kelonggaran yang hanya dikhususkan kepada orang yang musafir sahaja. Manakala solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan malahan ditunaikan dengan sempurna seperti biasa.

Syarat-syarat solat qasar
  • Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
  • Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah.
  • Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat Zohor, Asar, dan Isya’ sahaja yang dilaksanakan secara tunai. Sebab itu tidak dibolehkan qasar solat qada’ dalam musafir bagi solat yang ditinggalkan semasa di dalam kawasan kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan di dalam musafir.
  • Hendaklah diniatkan qasar di dalam masa takbiratul ihram.
  • Tidak boleh berimamkan orang yang bersolat tamam ( sempurna ).
  • Hendaklah tempat yang dituju itu tertentu. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
  • Berkekalan perjalanannya sehingga sempurna solat.
  • Ia tahu bahawa orang yang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.
Orang yang musafir yang memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diharuskan solat qasar, harus solat jamak. Maksud solat jamak ialah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu iaitu menghimpunkan solat Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isya’ dalam satu waktu yang sama, samada dalam waktu yang pertama atau yang kedua.
Solat jamak terbahagi kepada dua iaitu Jamak Taqdim dan Jamak Takkhir.

  • Solat Jamak Taqdim
    • Hendaklah didahulukan solat yang empunya waktu dengan tertib, ertinya dilakukan solat Zohor dan Maghrib yang dikira solat yang pertama atau yang dahulu itu kemudian barulah diikuti dengan solat yang dijamakkan iaitu Asar dan Isya’ yang dikira solat kedua.
    • Hendaklah diniatkan jamak pada solat yang pertama atau yang empunya waktu itu dalam mana-mana juzud sembahyang sebelum salam tetapi yang afdal disyaratkan niat semasa takbiratulihram.
    • Hendaklah berturut-turut atau mualat antara dua solat itu dengan tidak diselangi dengan penceraian yang dikira panjang uruf.
    • Hendaklah ia berkekalan pada musafirnya daripada permulaan solat yang pertama hingga sempurna takbiratul ihram solat kedua, kerana batal solat jamaknya dengan jadi mukim di antara dua solat itu.
  • Jamak Taqdim dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Zohor, atau solat Maghrib dan solat Isya’ pada waktu Maghrib. Dinamakan solat ini dengan Jamak Taqdim kerana solat yang kedua yang belum masuk waktunya dibawa ke solat yang pertama.


  • Solat Jamak Takkhir
    • Hendaklah berniat Jamak Takkhir sebelum habis waktu solat yang pertama, kerana jika ia tidak berbuat demikian hukumnya haram mentakkhirkan solat yang pertama itu daripada waktunya dan solat itu jadi qada’ pada waktu yang kedua.
    • Hendaklah berkekalan musafirnya itu sehingga diselesaikan solat yang kedua, dan sekiranya ia telah jadi mukim sebelum selesai solat yang kedua nescaya yang pertama itu jadi solat qada’.
Jamak Takkhir dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dilakukan dalam waktu Isya’. Dinamakan solat ini dengan Jamak Takkhir kerana solat pertama yang telah masuk waktunya dibawa ke solat yang kedua.

Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah, maka ia harus melakukan solat qasar dan jamak sekali. Ertinya ia boleh menjamakkan di antara dua solat serta mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut:
  • Menjamakkan dua solat fardhu tanpa qasar.
  • Menjamakkan dua solat fardhu dan qasar.
  • Mengqasarkan solat tanpa jamak iaitu mengerjakan solat Zohor, Asar , Isya’ dengan dua rakaat yang berasingan.
Solat jamak dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya dalam segenap masa bagi orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah.Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi.

Akhir musafir ialah apabila kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi.

Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 60 batu atau 100 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya. Jadi, untuk berhati-hati, eloklah dikira dari 60 batu.

Solat bagi orang yang musafir ini ada tiga cara:

  • Jamak dengan qasar sekali.
  • Jamak sahaja tanpa qasar.
  • Qasar sahaja tanpa jamak.
Di antara dua solat jamak tidak boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat lama. Oleh itu, selepas sahaja salam, teruskan sahaja solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat sahaja. Solat Jamak dengan satu kali azan dan dua kali iqamat.Orang yang melakukan solat qasar tidak boleh berimamkan orang yang solat sempurna ( tamam ). Apabila seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan ia bertolak tadi, maka selesailah solat jamak dan qasarnya. Ia tidak boleh lagi mengerjakan solat secara jamak dan qasar.


Apabila seseorang itu bermusafir dan berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih, maka putuslah safarnya. Tapi, sekiranya ia hendak berhenti di situ selama tiga hari, maka bolehlah solat jamak dan qasar. Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari keluar.


Apabila seseorang itu berhenti di suatu tempat dengan niat akan berada di situ selama tiga hari, tapi kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jamak dan qasar sehingga 18 hari.

Apabila seseorang itu bermusafir kerana sesuatu maksiat, maka ia tidak diharuskan solat jamak dan qasar. Bagi mereka yang hendak mengerjakan solat Jamak Takkhir hendaklah berniat lebih awal; jangan sampai waktu hendak baru berniat.

Perjalanan seseorang musafir hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuannya. Jika ia tidak tahu ke mana hendak diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh jamak/qasar.

Sekian....



1/21/2010

Antara Sunnah-sunnah Hari Jumaat

1) Disunnahkan bagi seseorang memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w..
" Sesungguhnya seutama-utama hari atas kalian adalah hari Jumaat, di dalamnya Adam diciptakan dan di dalamnya beliau diwafatkan. Di dalamnya sangkakala ditiupkan dan didalamnya makhluk-makhluk mati bergelimpangan. Maka perbanyaklah kalian berselawat keatasku, kerana sesungguhnya selawat kalian akan sampai kepadaku."- HR Ahmad dan Ashhabus Sunan, disahihkan oleh an-Nawawi dan dihasankan oleh al-Mundziri.

2) Mandi pada hari Jumaat,
"Apabila salah seorang dari kalian hendak mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi."-Muttafaq 'alaihi.

3)Berwangian, bersiwak dan berpakaian dengan pakaian yang terbaik,

"Barangsiapa mandi pada hari Jumaat, menggunakan minyak wangi yang dia miliki dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian ia keluar dan berjalan dengan tenang(perlaha-lahan) sampai tiba di masjid, lalu ia ruku'(solat) yang tampak baginya dan ia tidak menggangu seseorangpun, lalu ia diam ketika imam keluar (berkhutbah) sampai menunaikan solat, maka baginya kaffarah(pelebur dosa) antara Jumaat dengan Jumaat yang lainnya."


4) Bergegas ke masjid untuk solat Jumaat yang mana sunnah ini seola-olah telah mati pada saat ini, semoga kita dapat hidupkan kembali sunnah ini dan semoga Allah merahmati mereka yang masih mengamalkannya.

" Apabila tiba hari Jumaat, para malaikat berdiri di pintu-pintu masjid, mereka menulis orang-orang yang datang pertama kali. Permisalan orang yang datang pada awal Jumaat bagaikan orang yang berkorban seekor unta, kemudian (yang datang seterusnya) bagaikan orang berkorban sapi, kemudian( yang datang berikutnya) bagaikan orang berkorban seekor domba, kemudian (yang datang berikutnya) bagaikan orang berkorban seekor ayam, kemudian (yang datang seterusnya) bagaikan orang yang berkorban sebutir telur. Apabila imam telah keluar dan duduk di atas mimbar, para malaikat berbondong-bondong beranjak dari barisan mereka, lalu mereka duduk mendengar kuthbah."( Muttfaq 'alayhi)

1/13/2010

Sedekahlah...

Salim bin Abil Jad r.a. berkata:
S
eorang perempuan telah berjalan dengan anaknya. Tiba-tiba datang seekor serigala lalu menangkap dan melarikan anaknya. Perempuan itu pun mengejar serigala tersebut. Tiba-tiba datang seorang peminta sedekah lalu meminta sesuatu daripadanya. Ia hanya mempunyai sekeping roti sahaja dan roti itu diberikan sebagai sedekah. Tidak lama kemudian, serigala tadi datang semula dan menyerahkan anaknya kembali....

Sesungguhnya fadhilat sedekah cukup BESAR. Janganlah kita terlalu cinta akan harta dunia yang bersifat sementara. Sedekahlah untuk kesejahteraan dunia dan akhirat kelak. Dan untuk mereka yang dalam kedaifan......

1/09/2010

Zikir Harian



Assalamualaikum semua, marilah kita bersama-sama mengingati Allah pada setiap masa. Di samping melakukan amalan wajib, adalah elok rasanya kalau kita mengamalkan Zikir-Zikir harian ini agar setiap hari kita sentiasa mengingatiNya. Amalkan setiap hari terutamanya selepas solat...

Zikir Harian:


Jumaat : Ya Allah

Sabtu : Laa Ilaha Illallah

Ahad : Ya Hayyu Ya Qayyum

Isnin: Subhanallah Walhamdulillah Wala Ilaha Illallah Waallahu Akbar

Selasa: Selawat ke atas Nabi

Rabu : Astaghfirullah Inna Allah Ha ghafurrahim

Khamis : SubhanaAllah Ha al’azim SubhanaAllah Hi wabihamdih

P/s: amalkan zikir ini 1000x sehari.

Semoga bersama kita mendapat fadhilatnya dan sentiasa dalam RahmatNya.Amiin :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...