Sahabat-sahabat ana...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته بسم الله الرحمن الرحيم..الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين

10/03/2011

Kisah Saidina Umar dan sebungkus hadiah

  
Semasa menjadi khalifah, satu hari Saidina Umar telah didatangi tetamu dari Azerbaijan. Sesudah beliau dan tetamu berkenaan menunaikan solat fajar, Saidina Umar mengajak tetamu tersebut ke rumahnya.Apabila sampai di rumah, Saidina Umar segera berkata kepada isterinya, untuk membawakan makanan bagi menjamu tetamu itu.Namun isterinya, Ummi Kaltsum mengatakan bahawa mereka ketiadaan makanan kecuali roti dan garam.“Tidak mengapa”, jawab Saidina Umar. Kemudian beliau dan tetamunya menikmati hidangan roti dan garam tersebut.


Sesudah makan, Saidina Umar bertanya apakah maksud kedatangan tetamunya itu. Lantas tetamu itu menjawab, bahawa dia hanyalah utusan Azerbaijan dan pemerintahnya telah mengarahkan beliau membawa sebungkus hadiah kepada Saidina Umar sebelum meminta agar bungkusan yang mengandungi gula-gula itu dibuka.
“Gula-gula ini adalah khusus buatan Azerbaijan”, kata utusan berkenaan.
Kemudian Saidina Umar bertanya: “Apakah semua kaum Muslim mendapat kiriman gula-gula ini?”

Utusan Azerbaijan berkenaan kemudiannya termenung seketika. Dia meneruskan jawapannya dengan berkata tidak. Gula-gula berkenaan merupakan hadiah khas kepada Saidina Umar selaku Amirul Mukminin.Jawapan dan kata-kata utusan itu ternyata tidak disenangi Saidina Umar. Beliau amat marah setelah mendengarnya. Lantas beliau memerintahkan kepada utusan itu agar membawa gula-gula berkenaan ke masjid untuk dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir miskin dan kaum Muslim di sana.
“Barang itu haram masuk ke perutku, kecuali kalau kaum Muslim memakannya juga. Dan kamu cepatlah kembali ke negerimu. Katakan kepada pemerintah yang mengutusmu. Andai dia mengulanginya kembali, akan ku pecat dia daripada jawatannya!”.


SUBHANALLAH! Betapa hebatnya taqwa dan amanah yang ada pada diri Saidina Umar sebagai pemerintah. Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya setiap umat ditimpa ujian dan ujian bagi umatku adalah harta” (hadis riwayat at-Tarmizi).
Oleh itu, kepada seluruh umat Islam serta mereka yang bergelar pemimpin, janganlah anda lupa pada pesanan Rasulullah itu kerana Baginda juga pernah bersabda yang bermaksud: “Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka” (hadis riwayat at-Tarmizi).
Oleh yang demikian, janganlah anda berangan hendak menjadi seorang pemimpin, jikalau anda tidak sekuat Saidina Umar!.
Wallahua’llam…






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...