Apabila menjelmanya bulan Sya’ban maka ia memberi petanda bahawa kita semakin hampir untuk bertemu dengan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA.
Oleh itu sebagai persiapan untuk kita menghadapi bulan Ramadan ini ada antara kita tertanya-tanya tentang apakah amalan-amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w pada bulan Sya’ban ini. Sebenarnya, pada bulan Sya’ban Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan puasa hingga diriwayatkan bahawa Baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut. Aishah r.r. berkata:
"Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1969.
Justeru, hanya amalan puasa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w khusus untuk bulan Sya’ban. Selain dari amalan ini, tiada hadis sahih menunjukkan baginda mengkhususkan amalan-amalan tertentu sempena bulan Sya’ban. Malah, tidak wujud riwayat-riwayat daripada para sahabat menunjukkan mereka menyambut kedatangan Sya’ban dengan amalan-amalan tertentu. Namun, amalan-amalan sunnah yang lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat-solat sunat, membaca zikir-zikir dan doa-doa ma’thur boleh diteruskan sepanjang bulan Sya’ban sebagaimana bulan-bulan yang lain.
Tentang hikmah Rasulullah s.a.w meningkatkan amalan puasa pada bulan Sya’ban ini, al-Hafiz Ibn Hajar telah memberi komentar di dalam Fath al-Bari Penjelasan Sahih al-Bukhari, edisi terjemahan oleh Amiruddin, terbitan Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jilid 11, muka surat 369: "Hikmah yang lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada bulan Sya’ban adalah seperti yang disebutkan oleh hadis dengan darjat yang lebih sahih daripada hadis-hadis terdahulu. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid r.a katanya:
"Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa dari sebahagian bulan Sya’ban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada ALLAH, TUHAN semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , hadis no: 2317.
Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Sya’ban ini dengan menggandakan ibadah puasa. Namun, terdapat beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang puasa pada bulan Sya’ban ini. Antara perkara-perkara tersebut adalah:
1) Bolehkah Kita Berpuasa Keseluruhan Bulan Sya'ban?
2) Apakah dilarang berpuasa melepasi pertengahan bulan Sya'ban?
Insya-ALLAH penulis akan membahaskan kedua-dua topik tersebut di dalam bab berikutnya.
Bolehkah Kita Berpuasa Keseluruhan Bulan Sya'ban?
Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan kita berpuasa sepanjang bulan Sya’ban atau tidak. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa kadangkala Nabi s.a.w berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban dan adakalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar bulan Sya’ban sahaja. Antara ulama yang berpegang kepada pendapat ini adalah Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h.
Sebahagian yang lain berpendapat baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada mana-mana bu
lan menurut kalendar hijriyyah kecuali bulan Ramadan al-Mubarak. Manakala pada bulan Sya’ban pula baginda hanya berpuasa pada sebahagian besar sahaja. Pendapat kedua ini disokong oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h seorang tokoh hadis bermazhab Syafie.
Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis-hadis Nabi s.a.w yang yang menunjukkan baginda pernah berpuasa sepanjang bulan Sya’ban dan ada pula yang menidakkannya. Mari kita perhatikan beberapa hadis yang dijadikan dalil bahawa baginda s.a.w pernah berpuasa sepanjang bulan Sya’ban. Ummu Salamah r.a berkata:
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak berpuasa sebulan penuh dalam setahun melainkan bulan Sya’ban dan baginda sambungkan Sya’ban dengan Ramadan." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai, hadis no: 2313.
Menurut Abu Salamah r.a, Aisyah r.a berkata:
"Nabi s.a.w tidaklah berpuasa pada satu bulan ya
ng lebih banyak berbanding bulan Sya’ban. Sesungguhnya baginda berpuasa sebulan penuh." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1970.
Abdullah bin Abi Qais r.a mendengar Aisyah r.a berkata:
"Bulan yang paling disenangi Rasulullah s.a.w untuk berpuasa adalah bulan Sya’ban kemudian disambungnya dengan puasa Ramadan." – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , hadis no: 2310.
Tetapi, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. Sedangkan, beliau me
nceritakan bahawa Nabi s.a.w hanya berpuasa sepanjang bulan pada bulan Ramadan sahaja. Aisyah berkata:
"Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1969.
Untuk menghilangkan percanggahan yang timbul ini, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh bulan Sya’ban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut.
Tambahnya lagi: "Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan u
rusan lain." – Rujuk Fath al-Bari karya Ibn Hajar ‘Asqalani, jil. 11, ms. 366. Setelah didatangkan beberapa pendapat ulama yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w kadangkala hanya berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban dan kadangkala hanya berpuasa sebahagian besar pada bulan itu, al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan di dalam Fath al-Bari, jilid 11, muka surat 367: "Tetapi, jelas sekali pendapat ini seakan-akan terpaksa.
Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada bulan Sya’ban. Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi:
"Baginda s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain bulan Ramadan."
Manakala hadis yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar melalui Ibn Abbas r.a pula berbunyi:
"Nabi s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan penuh selain puasa Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1971.
Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang kita berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula. Menurut Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
"Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuas
a pada hari itu." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1914.
Apakah Dilarang Berpuasa Setelah Melepasi Pertengahan Bulan Sya’ban?
Tanggapan bahawa dilarang berpuasa pada bulan Sya’ban setelah memasuki hari ke 15 adalah bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah r.a. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Jika memasuki pertengahan Sya’ban, janganlah kamu semua berpuasa." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, hadis no: 1990.
Ulama berbeza pendapat tentang status hadis ini. Sebahagian ulama menganggapnya daif (lemah). Al-Hafiz Ibn Hajar r.h berkata: "Al-Rauyyani berkata: Haram mengerjakan puasa sehari atau dua hari sebelum Ramadan dan dimakruhkan mengerjakan puasa sejak pertengahan Sya’ban berdasarkan hadis lain.
Sementara jumhur ulama berpendapat harus mengerjakan puasa sunat setelah pertengahan bulan Sya’ban. Mereka menganggap hadis yang melarang puasa pada waktu itu bermartabat daif (lemah). Sementara Imam Ahmad dan Ibn Ma’in mengklasifikasikan sebagai hadis mungkar (diriwayatkan oleh perawi daif serta menyalahi riwayat perawi tsiqah).
Imam al-Baihaqi menjadikan hadis di bab ini, iaitu hadis di dalam Sahih Bukhari, hadis no: 1914, bab: Tidak boleh mendahului Ramadan dengan berpuasa satu atau dua hari sebagai dalil untuk melemahkan hadis tersebut.
Imam al-Baihaqi r.h berkata: “Riwayat yang memberi keringanan (rukshah) untuk tetap berpuasa sehingga sehari atau dua hari menjelang Ramadan lebih sahih berbanding hadis al-Alla’, iaitu hadis riwayat Abu Daud. Hal yang sama, iaitu mendaifkan hadis tersebut telah dilakukan oleh al-Tohawi." – Rujuk Kitab Fath al-Bari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 11, ms. 86-87.
Namun begitu, Ibn al-Qayyim r.h di dalam Tahdib al-Sunan melihat bahawa hadis Abu Daud ini sahih. Bagi Ibn al-Qayyim, sebenarnya tidak wujud percangahan antara hadis yang melarang berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’ban dan hadis yang membenarkannya. Bagi beliau, hadis al-Alla’ tersebut hanya melarang mereka yang ingin memulakan puasa bulan Sya’ban di pertengahan bulan tersebut secara sengaja dan ia bukan larangan bagi mereka yang telah memulakan puasa pada awal bulan Sya’ban.
Hadis Abu Daud ini juga telah disahihkan oleh Syeikh al-Albani dan Syeikh Ibn Bazz r.h. Oleh itu, penulis terbuka kepada kedua-dua pendapat yang melemahkan serta menguatkan hadis tersebut. Namun, jumhur ulama membolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban diteruskan walaupun setelah pertengahan bulan tersebut.
KESIMPULAN
Jelas di sini bahawa Nabi s.a.w berpuasa pada sebahagian besar bulan Sya’ban. Firman ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.
Justeru, marilah kita hidupkan bulan Sya’ban ini dengan memperbanyakkan ibadah puasa. Semoga kita semua sentiasa berada di dalam keredhaan ALLAH serta mendapat balasan yang baik di hari akhirat kelak.
Sumber: http://akob73.blogspot.com/2008/07/menyambut-kedatangan-syaban.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan