Sahabat-sahabat ana...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته بسم الله الرحمن الرحيم..الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين

11/23/2009

Aidiladha

Assalamualaikum, bersempena Aidiladha yang bakal menjelang ini, ingin saya berkongsi sedikit perkara berkaitan perayaan ini.

Istilah “qurban” secara harfiyyah berasal dari kata qaruba-yaqrubu-qurbaanan, yang bermaksud dekat atau mendekatkan diri. Dari segi pengertian syara’ pula, ibadah qurban bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing, pada Hari Nahr atau Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Dzulhijjah) dengan niat untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Di sini jelas menunjukkan betapa pentingnya usaha mendekatkan diri (berqurban) ini, sehinggakan Islam menetapkan syari’at qurban dalam bentuk penyembelihan haiwan qurban.

Apabila kita meneliti maksud qurban yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam iaitu “Mendekatkan diri kepada Allah SWT”, maka seharusnya kita sedar dan insaf bahawa ianya merupakan suatu tuntutan untuk diri kita sendiri. Ibadah qurban ini juga merupakan suatu ukuran ketaqwaan seseorang hamba kepada Allah SWT. Tidak boleh sesekali kita berqurban kerana atau untuk seseorang, atau sesuatu yang selain daripada Allah SWT, sebagaimana kita tidak dibenarkan mengerjakan solat untuk seseorang.
Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (qurbanmu)” (Al-Kauthar, 108: 2)



Rasulullah saw bersabda: "Tiada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)

Firman Allah yang bermaksud: "Dan binatang-binatang korban itu Kami jadikan buat kamu sebagai sebahagian dari upacara-upacara (agama) Allah. Padanya ada kebaikan bagi kamu. Oleh kerana itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berbaris-baris. Maka apabila gugur (sembelihan-sembelihan itu), makanlah daripadanya dan berilah makan fakir yang menjaga kehormatan dan fakir yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan (binatang-binatang) itu untuk kamu agar kamu bersyukur".


"Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya dan tidak pula darah-darahnya. Tetapi akan sampai kepada Allah ialah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah dipermudahkannya korban-korban kepada kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan hendaklah kamu gembirakan orang-orang yang berbuat kebajikan ". (al-Hajj : 36-37)





Bagaimana dan bila ibadah Qurban dilakukan?

Pelaksanaan ibadah qurban boleh dilakukan dengan menyembelih sendiri haiwan ternakan atau mewakilkannya kepada pihak lain. Waktu bagi melakukan ibadah ini hanyalah pada hari-hari yang telah dikhususkan oleh syara’ iaitu pada mana-mana hari bertarikh 10, 11, 12, ataupun 13 Dzulhijjah setiap tahun.

Penyembelihan haiwan qurban bermula pada tanggal 10 Dzulhijjah setelah solat Aidil Adha, diikuti dengan tanggal 11, 12 sampailah ke tanggal 13. Ketiga-tiga hari terakhir ini disebut sebagai Hari Tasyriq yang bererti “hari-hari yang berlimpah dengan daging”.

Ini bererti, penyembelihan haiwan qurban tidak boleh dilakukan sebelum pelaksanaan solat Aidil Adha. Dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
Barangsiapa yang menyembelih haiwan qurban sebelum solat (Aidil Adha) maka harus menyembelih haiwan lain untuk menggantinya. Dan barangsiapa yang belum menyembelih, maka sembelihlah (sesudah solat) dan sebutlah nama Allah”.



Akhir kata, ibadah Qurban mempunyai banyak fadhilatnya kepada kita. Jika kita mampu,
maka jalankanlah ibadah ini. Janganlah terlalu sayangkan harta dunia yang sementara ini.Fikir-fikirkan dan selamat beramal.Selamat menyambut Aidiladha buat seluruh umat islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...